Panduan Mendapatkan Sijil Kematian di JPN

Saya Abu Nuha Nuwairah, Perunding Pewarisan Wasiyyah Shoppe Berhad sejak tahun 2022. Saya juga merupakan lepasan syariah daripada Univerisiti Islam Imam Muhammad ibn Saud, Riyadh. Insya Allah, saya boleh bantu tuan puan berkaitan dengan pewarisan.

Isi Kandungan

Pendahuluan

Dalam pengurusan pusaka Islam, sijil kematian merupakan dokumen asas dan sangat penting untuk memulakan sebarang urusan berkaitan harta peninggalan si mati. Tanpa dokumen ini, waris tidak dapat meneruskan proses pentadbiran harta sama ada melalui Mahkamah Tinggi Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil.

Namun begitu, masih ramai dalam kalangan masyarakat kurang faham mengenai siapa yang layak mendapatkan sijil kematian asal dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan apakah tanggungjawab mereka selepas itu.

Siapa Yang Layak Memohon Sijil Kematian Di JPN?

Mengikut peraturan JPN, hanya individu tertentu sahaja yang dibenarkan memohon sijil kematian asal, iaitu:

  1. Ibu atau bapa – termasuk ibu atau bapa angkat, serta ibu atau bapa tiri.
  2. Suami atau isteri yang sah.
  3. Anak kandung, termasuk anak angkat atau anak tiri seibu/sebapa.
  4. Adik-beradik – termasuk adik-beradik kandung, angkat atau seibu/sebapa.
  5. Datuk/nenek dari ibu atau bapa kandung.
  6. Cucu kandung.
  7. Penjaga yang sah, dengan syarat disertakan surat kebenaran penjagaan kanak-kanak dari JKM (Borang 13) atau Perintah Mahkamah.
  8. Firma Guaman – mewakili agensi swasta, GLC, institusi kewangan atau individu lain yang tidak berkaitan langsung dengan pemilik dokumen.
  9. Badan Berkanun – permohonan hendaklah dibuat melalui peguam atau tetuan masing-masing.
  10. Agensi Kerajaan.

Selain daripada kategori di atas, pihak JPN tidak akan membenarkan individu lain, termasuk adik-beradik si mati atau saudara mara yang jauh untuk mendapatkan sijil kematian kecuali dengan kebenaran khas dan bukti kuasa wakil.

Kenapa Penting Untuk Memahami Prosedur Ini?

Ramai waris mengalami kesukaran menguruskan harta pusaka kerana kegagalan mendapatkan sijil kematian, sama ada disebabkan ketidaktahuan prosedur atau keengganan sesetengah waris menyerahkan dokumen tersebut.

Antara masalah yang sering timbul:

  • Sijil kematian disimpan oleh salah seorang waris dan tidak dikongsi.
  • Waris mendakwa sijil hilang atau tidak ada, sedangkan mereka menyimpannya.
  • Tiada kerjasama antara waris, menyebabkan proses tuntutan pusaka tertangguh.

Tanggungjawab Waris Memudahkan Bukan Menyulitkan

Sebagai waris, adalah menjadi tanggungjawab moral dan agama untuk memudahkan urusan sesama waris. Sijil kematian bukan hak milik peribadi tetapi adalah dokumen yang perlu digunakan untuk menyelesaikan amanah harta si mati.

Jika anda mempunyai akses kepada sijil kematian, bantu waris lain untuk:

  • Menyediakan salinan untuk kegunaan pentadbiran pusaka.
  • Menyerahkan dokumen kepada pihak yang layak (contohnya peguam syarie atau pihak berkuasa).
  • Tidak menyekat hak waris lain atas sebab-sebab peribadi.

Kesan Jika Sijil Kematian Tidak Dapat Diperoleh

  1. Urusan harta pusaka tertangguh – harta tidak dapat diagihkan, waris tidak dapat menggunakan harta si mati.
  2. Pembekuan akaun bank si mati berlarutan – menyebabkan beban kewangan kepada waris.
  3. Peluang perebutan harta – apabila waris tidak sepakat, ia membuka ruang kepada konflik dan perebutan.

Nasihat & Penutup

Sebagai peringatan bersama, sijil kematian adalah amanah. Jangan peram atau sembunyikan dokumen penting ini. Jika waris lain memerlukan bantuan, berilah kerjasama sewajarnya. Fikirlah kesan kepada ahli keluarga lain, terutama balu atau anak-anak kecil si mati.

Menguruskan pusaka adalah satu tanggungjawab besar dan ia menuntut ilmu, amal, serta akhlak yang mulia. Semoga setiap urusan kita dipermudahkan dan membawa keberkatan kepada keluarga.

Langgan Informasi

Jom langgan informasi tentang pewarisan dan solusi pusaka terkini secara percuma.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top
Perlukan Solusi?